SYAHIDAH (kanan) menceritakan kejadian bumbung bilik anaknya, Siti Nurzulaika diterbangkan angin kepada Asmirul (dua kiri). FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


“Saya hanya tersedar apabila lampu kalimantang terjatuh atas badan ketika tidur, sebaik membuka selimut yang menekup muka, saya nampak bahagian atas bumbung sudah diterbangkan angin,” kata Siti Nurzulaika Salleh, 22.

Dalam kejadian ribut 2 pagi hari ini, bahagian bumbung di rumahnya di Kampung Kubang Siam Alor Janggus, Alor Setar, diterbangkan angin.

Menurutnya, ketika itu, hujan lebat mencurah masuk ke bilik tidurnya menyebabkan bahagian dalam bilik itu basah digenangi air.

“Saya terus mengejutkan ibu Syahidah Din, 43, yang ketika itu sedang tidur di bilik bersebelahan... kejadian itu amat menakutkan.

“Saya bernasib baik kerana kipas siling diterbangkan angin, jika tidak mungkin terjatuh ke badan. Suasana ketika itu gelap kerana bekalan elektrik terputus,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Siti Nurzulaika berkata, dia bersama ahli keluarga lain kemudian bergegas ke ruang tamu untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Syahidah berkata, dia terkejut apabila anak sulungnya menarik tangan dan menunjukkan ke arah bilik tidurnya yang basah dimasuki hujan.

Katanya, ketika itu dia tidak perasan bumbung di bilik anaknya itu sudah tiada.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana anak saya selamat dalam kejadian ini namun sebahagian buku sekolah anak sudah rosak dibasahi air selain perabot juga kembang,” katanya.

Syahidah berkata, ketika kejadian suaminya, Salleh Mat, 51, dan empat lagi anaknya yang berusia tujuh hingga 20 tahun turut berada di rumah berkenaan dan masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Sementara itu, pemilik rumah di Kampung Lemping, Jalan Kubang Rotan di Kuala Kedah, Md Zohair Ismail, 50, berkata, kejadian angin kencang dan ribut itu berlaku di rumahnya 6.30 petang semalam.

Katanya, ketika itu dia sedang berehat di dalam rumah manakala isteri dan anak-anaknya pergi menghadiri rumah terbuka di Jitra.

“Ketika itu saya nampak pusaran angin hitam dengan jelas dari kawasan sawah di hadapan rumah dengan cepat.

“Belum sempat berbuat apa-apa angin kencang itu berpusing ke dalam rumah bersama hujan lebat menyebabkan rumah saya banjir manakala zink pula diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter ke dalam sawah berhampiran.

“Namun saya bersyukur kerana berjaya menyelamatkan diri walaupun alang kayu jatuh betul-betul di tempat saya berdiri dan tersangkut pada wayar elektrik menyebabkan berlaku percikan api sebelum rumah ini gelap,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris turut mengunjungi dua rumah berkenaan dan menyalurkan sumbangan awal kepada mangsa.

Katanya, hasil maklumat yang diperoleh mendapati, bumbung lima rumah masing-masing di lima kampung di kawasan Kubang Rotan diterbangkan angin selain perabot dan barangan elektrik rumah mereka rosak.

“Antara kampung terbabit termasuklah Kampung Jawa, Kampung Kubang Siam, Kampung Kubang Panggas, Kuala Kedah dan Tandop Kuala Kedah.

“Setakat kini saya sudah melawat semua rumah berkenaan dan akan cuba membantu sedaya mungkin untuk meringankan beban mereka apatah lagi masih dalam suasana Aidilfitri sekarang ini.

“Namun saya berharap sekiranya ada rumah lain yang dilanda ribut supaya membuat laporan polis dan memaklumkan kepada pihak kami supaya memudahkan bantuan diterima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 6:17 PM