Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


KEBAKARAN tempat pembuangan sampah haram berhampiran Taman Pinggiran Putera, Serdang yang berlarutan sejak kelmarin, memaksa pasukan bomba melakukan operasi pemantauan dan memadam kebakaran selama 24 jam.

Operasi memadam kebakaran membabitkan 80 peratus kawasan terbakar yang keseluruhannya dianggarkan berkeluasan 0.8 hektar sudah pun dimulakan kelmarin, sebaik menerima laporan pada 9.05 malam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Rizal Buang memaklumkan, lokasi berkenaan terletak hampir dengan kawasan penempatan menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan kediaman penduduk di taman perumahan berkenaan.

Ini kerana katanya, jarak antara lokasi yang terbakar dengan kawasan kediaman penduduk hanyalah kira-kira 93 meter.

“Kerja memadam kebakaran sedang dipergiatkan dan buat masa ini ia baru meliputi 20 peratus kawasan yang terbakar dengan ketinggian longgokan sampah dianggarkan setinggi 9.1 meter.

“Seramai 23 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan Serdang sedang bertungkus lumus memadamkan api menggunakan tiga jentera termasuk sebuah jentera tangki air,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, selain pemantauan di darat, pihak bomba turut melakukan pemantauan udara menggunakan ‘dron’ dengan bantuan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS).

Menurutnya lagi, pihak bomba kini beroperasi 24 jam di lokasi itu sehingga api kebakaran sampah itu berjaya dipadamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 2:02 AM
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di tempat pembuangan sampah haram. FOTO Luqman Hakim Zubir