Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


KEMELUT pemilihan calon Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang berlarutan kira-kira sebulan, hampir terlerai susulan kenyataan terbaru Menteri Besar, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, bahawa beliau sudah mengenal pasti calon terbabit.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan (PH) melalui empat parti komponennya iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP memperoleh 18 kerusi daripada keseluruhan 36 DUN yang dipertandingkan, manakala PAS (15) dan tiga kerusi milik Barisan Nasional (BN).

Walaupun PH berjaya membentuk kerajaan negeri, ia berdepan masalah berkaitan pelantikan Speaker sehingga ada ura-ura akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun ia dinafikan Mukhriz, yang memberitahu masalah pelantikan Speaker akan berjaya diselesaikan selepas mengadakan perbincangan dengan PAS dan BN, malah sudah mengenal pasti calonnya.

Isu calon Speaker ini sememangnya kritikal kerana ia menjadi undi penentu bagi kelulusan sesuatu rang undang-undang di negeri ini.

Difahamkan, kerajaan negeri mencadangkan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim, sebagai Speaker manakala calon Timbalan Speaker ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Sumber berkata, selepas PH memenangi PRU-14 yang lalu, mereka sudah bersetuju PKR akan menerima empat kerusi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Speaker manakala PPBM akan diberi kuota tiga EXCO dan Timbalan Speaker.

Menurutnya, semua parti komponen PH sudah bersetuju dengan cadangan itu, namun isu Speaker berdepan masalah selepas PAS yang memiliki 15 kerusi DUN tidak bersetuju dengan calon yang dipilih.

“Sedangkan calon Speaker itu sudah diperkenankan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, selepas Menteri Besar menghadap mempersembahkan nama calon Speaker.

“Namun, masalah timbul selepas PAS tidak bersetuju dengan cadangan itu menyebabkan ia tertangguh tetapi kini kemelut ini dianggap sudah selesai dan Speaker serta timbalannya akan dilantik pada 4 Julai ini pada Sidang DUN pertama,” katanya.

Menurut sumber, nama yang dicadangkan itu adalah bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim, manakala calon Timbalan Speaker ialah ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat.

NSTP sebelum ini melaporkan Mukhriz mengesahkan calon Speaker dan Timbalan Speaker DUN Kedah sudah dikenal pasti.

Katanya, calon Speaker adalah dari PKR, manakala Timbalan Speaker dari PPBM, bagaimanapun beliau enggan menamakan individu berkenaan.

Ahmad adalah bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah selepas memenangi kerusi mewakili PKR pada 2008 menewaskan calon BN, Datuk Hashim Jahaya, dengan majoriti 7,018 undi.

Juhari pula memenangi kerusi DUN Ayer Hangat pada PRU-14 selepas menewaskan penyandangnya dari BN, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan calon Pas, Azlina Azinan, dengan majoriti 1,532 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 1:03 PM