Hassim hanya mampu mengesot tinggal sebatang kara di pondoknya.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


Muar: “Rutin saya menyambut Aidilfitri dengan menziarah Pak Hassim, warga emas yang tinggal sebatang kara.

“Namun saya sedih mendapati tahun ini dia semakin uzur dan hanya mengesot untuk bergerak ditambah sakit kulitnya yang serius,” kata sukarelawan, Shamsiah Shaaban, 35.

Shamsiah berkata, Hassim Yeat, 78, warga emas yang tinggal sebatang kara di pondok kecil di Jalan Jaafar, Parit Bakar, berhampiran Jalan Parit Haji Ali Laut di sini, kehilangan ibunya 30 tahun lalu dan tidak pernah mendirikan rumah tangga.

Difahamkan adik-beradik Hassim sudah meninggal dunia menyebabkan dia tiada tempat bergantung dan tinggal seorang diri.

“Sebelum ini Pak Hassim bekerja kampung dan mampu menguruskan diri sendiri termasuk memasak. Saya menerima maklumat daripada netizen mengenai beliau dan mula menziarahinya setiap kali Aidilfitri sejak lebih 10 tahun lalu.

“Tahun lalu, kami berjaya mendapatkan sumbangan barangan dapur untuk keperluan Pak Hassim. Saya difahamkan Pak Hassim menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan,” katanya.

Shamsiah berkata, ketika menziarahi warga emas itu dia turut membawa makanan kegemaran beliau iaitu ketupat dan rendang.

“Sudah menjadi rutin kami menziarahi Pak Hassim pada Aidilfitri kerana bersimpati dengan keadaannya.

“Bagaimanapun, tahun ini keadaannya semakin uzur termasuk tangan dan kakinya mengalami masalah kulit serta kakinya sakit hingga tidak dapat berjalan,” katanya.

Menurutnya, dalam pertemuan mereka semalam, dia mencadangkan Hashim tinggal di pusat jagaan warga emas dan warga emas itu bersetuju kerana sedar keadaan di pusat jagaan lebih selamat.

“Ramadan lalu, Pak Hassim dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman dalam darah.

“Selama ini, JKM banyak membantu namun kami berharap mereka akan menempatkan warga emas ini di pusat jagaan yang sesuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 6:50 AM