KEBAKARAN membabitkan kilang keranda dan kilang plastik di Padang Temusu, Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


DUA kilang membuat keranda dan plastik musnah dalam kebakaran di Padang Temusu, Sungai Petani, hari ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Zon 2 Mohd Haziri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.13 tengah hari sebelum 54 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Tikam Batu dan Amanjaya bergegas ke lokasi.

Katanya, seramai 50 anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) membabitkan PBS Bakar Arang, Semeling, Bukit Selambau, Kuala Ketil, Gurun dan Bedong turut membantu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kilang berkenaan sudah terbakar sebanyak 70 peratus.

“Pihak bomba juga berdepan dengan masalah kekurangan sumber air yang terletak agak jauh dari lokasi kebakaran,” katanya.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 6:15 PM