BOMBA membantu berusaha mengeluarkan mangsa yang maut. FOTO Ihsan Bomba
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my

KEGEMBIRAAN lima beranak meraikan Aidilfitri berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Lundang Paku-Kemubu, Kampung Beta Hilir, Kota Bharu, tengah hari semalam.

Dalam nahas 1.30 tengah hari, Mohd Fauzi Yunus, 58, yang berasal dari Pasir Mas, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa anggota badan selepas kereta dipandunya bertembung sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

Isteri mangsa berusia 53 tahun dan tiga anak mereka berusia antara 13 hingga 19 tahun pula cedera serta dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di Kota Bharu, untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kemalangan berlaku ketika keluarga berkenaan yang menaiki kereta Proton Iswara, dalam perjalanan dari arah Pendek menghala ke Kemubu.

Beliau berkata, setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan dipercayai tiba-tiba hilang kawalan.

“Akibatnya, Perodua Myvi itu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Iswara.

“Perlanggaran itu menyebabkan pemandu Proton Iswara tersepit dan maut di tempat kejadian, manakala penumpang depan dan belakang kereta terbabit dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk bedah siasat, sementara pemandu Perodua Myvi berusia 23 tahun yang turut cedera, menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 12:40 PM