DATUK Seri Mukhriz Mahathir. FOTO Arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi; Suhaila Shahrul Annuar; Ahmad Suhael Adnan; Manirajan Ramasamy; Esther Landau dan Veena Babulal
cnews@nstp.com.my


MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan calon Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sudah dikenal pasti.

Katanya, calon Speaker adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Timbalan Speaker dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bagaimanapun beliau enggan menamakan individu yang berkenaan.

“Calon Speaker dan Timbalan Speaker sudah dikenal pasti. Speaker dari PKR, Timbalan Speaker dari PPBM,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yakin PAS dapat menawan kembali Kedah jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan berikutan kemelut pemilihan Speaker selepas kedudukan kerusi Pakatan Harapan dan pembangkang tergantung.

Daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, PH memenangi 18 kerusi manakala PAS menang sebanyak 15 kerusi dan BN pula sebanyak tiga kerusi menjadikan kedudukan terikat 18-18.

Mukhriz turut menafikan akan berlaku PRN di negeri berkenaan.

“Tiada siapa, atau parti mahukan PRN. Semua dah penat dari pilihan raya lalu (PRU-14),” katanya.

Beliau berkata, situasi politik di Kedah juga terkawal dan tiada masalah.

“Situasi politik di Kedah terkawal, aman damai seperti biasa. Tiada masalah. Sidang DUN Kedah akan diadakan pada 4 Julai ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan luar biasa pengunjung rumah terbuka berkenaan, katanya ia mungkin ada kaitan dengan semangat Malaysia baharu.

“Agaknya mereka mahu tunjukkan sokongan. Majlis ini bertujuan untuk kerajaan parti memerintah ucap terima kasih kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 6:03 PM