CINDY (kanan) dan Rose (dua dari kanan) bersama pekerjanya.
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dia dilahirkan tanpa deria pendengaran namun itu bukan alasan bagi Khew Yun Loi, 42, untuk berjaya seperti insan normal lain.

Atas dasar mahu hidup berdikari dan memajukan diri sendiri dia kini bergelar cef serta sudah menguasai kemahiran menyediakan pastri.

Khew bergelar cef hasil bimbingan dan tunjuk ajar daripada Persatuan Penterjemah untuk Orang Pekak di Selangor dan Kuala Lumpur (SID) dan Pusat Perkhidmatan Komuniti untuk Golongan Pekak (CSCD).

Lebih membanggakan Khew, memiliki Sijil Antarabangsa dalam bidang Patisserie (Advanced) selepas menamatkan kursus di Taylor’s University yang ditaja biasiswa Yayasan Hong Leong.

Orang kurang upaya (OKU) pendengaran itu kini menjadi tulang belakang Silent Teddies Bakery terletak bersebelahan St John’s Institution dan St John’s Cathedral di Lorong Ampang di sini.

“Kemahiran yang dipelajari saya gunakan untuk membantu lebih ramai OKU senasib agar mereka ini mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri selepas ini.

“Saya mahir menyediakan lima jenis hidangan pastri iaitu biskut gajus, chocolate chip oatmeal, almond butter, tart nenas dan kek cawan. Setakat ini saya sudah melatih enam pelajar yang berjaya menamatkan latihan di CSCD,” katanya.


KELAS bimbingan dibuka di bawah Persatuan Penterjemah untuk Orang Pekak di Selangor dan Kuala Lumpur (SID) dan Pusat Perkhidmatan Komuniti untuk Golongan Pekak (CSCD).

Sementara itu penterjemah di CSCD Cindy Leong yang juga penggerak serta pengasas Silent Teddies Bakery berkata, program itu dimulakan pada 2010 dengan Khew menjadi peserta paling awal mengikuti latihan disediakan.

Cindy berkata, dia dibantu rakannya Rose Ng untuk menjayakan program itu dan CSCD ibarat sebuah sekolah yang menawarkan pendidikan percuma kepada kanak-kanak serta belia yang cacat pendengaran.

“Objektif asal penubuhan bakeri ini adalah untuk memberikan latihan vokasional kepada pelajar. Bakeri ini juga sudah didaftarkan sebagai sebuah syarikat yang sah dan menawarkan pekerjaan kepada OKU selesai menjalani latihan.

“Jika di bakeri lain, riuh dengan suara pekerja bersembang atau menyanyi sambil menguli doh namun di sini semua orang buat kerja dalam keadaan senyap.

“Memang kena dengan nama bakeri ini iaitu Silent Teddies, kerana kami lebih banyak gunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 11:18 AM