Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


DUA lelaki tempatan ditahan polis semalam, selepas didapati menawarkan sogokan wang tunai berjumlah RM500 bagi menyelesaikan satu kes keganasan rumah tangga membabitkan salah seorang isteri mereka.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata suspek masing-masing berusia 38 tahun dan 36 tahun tampil membuat laporan kes dan cubaan rasuah itu berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Beliau berkata pegawainya turut mendapati satu pen berwarna hitam diselitkan di baju salah seorang suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati pen berkenaan mempunyai kamera dan lubang mikrofon kecil.

“Ia dipercayai untuk merekod perbualan dan perbuatan mereka,” katanya pada sidang media Ops Dadu di Puchong, malam tadi.

Beliau berkata dua suspek berkenaan ditahan berhubung kesalahan cubaan memberi rasuah kepada penjawat awam.

“Pen itu turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21(b) Akta SPRM 2009 atas kesalahan memberi suapan dan suspek direman esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 1:55 AM