ISMAIL menyifatkan PAS gila kuasa dan tamak. FOTO/FAIL
Petah Wazzan Iskandar
Wazzan@nstp.com.my


PAS disifatkan gila kuasa dan tamak apabila masih terus berpolemik mengenai perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan menyatakan kesediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya isu terbabit gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kedah, Dr Ismail Salleh berkata, sikap terbabit jelas menunjukkan apabila PAS mencalonkan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebagai bakal Speaker DUN yang akan bersidang Julai ini.

Beliau yang juga EXCO Penerangan, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, tindakan kepemimpinan PAS Pusat termasuk negeri tidak memahami mesej dan kehendak rakyat apabila terus tamak inginkan kuasa dengan cara tidak betul.

“Selepas cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ditolak Pakatan Harapan (PH) Kedah, PAS tidak berputus asa apabila menzahirkan sifat tamak halobanya dengan cuba meminta jawatan pula.

“PAS menunjukkan sifat sebenar mereka yang gila kuasa apabila meminta pula jawatan Speaker DUN maka sudah tentu, permintaan terbabit tidak logik dan tiada asas langsung,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dr Ismail berkata, jika PAS benar-benar mahu wujudkan kerajaan perpaduan sepatutnya dimulakan dengan Kelantan dan Terengganu bukannya negeri yang dimenangi pihak lawan.

“Kita sudah tentu ada 18 kerusi manakala PAS hanya 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN), tiga kerusi. Jika melihat kekuatan PH yang turut menjadi Kerajaan Persekutuan, sudah pasti UMNO yang nazak tidak akan menyokong PAS.

“Maka, PAS simpanlah keegoan sehingga lima tahun akan datang dan hormatilah kehendak rakyat kerana masa sekarang, adalah waktu bekerja. Jika mahu PRN, sudah pasti, semua pihak terutama rakyat tidak ia berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pihaknya bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk PRN sekiranya isu perlantikan Speaker DUN gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sebenarnya PAS sudah tunjuk jalan keluar melalui kerajaan campuran yang membabitkan semua parti, tujuan adalah untuk mengelak PRN kerana ia adalah jalan terbaik dalam menangani situasi ini, tetapi mereka tolak.

“Kita tiada masalah dengan penolakan itu kerana ia hanya cadangan, oleh itu PAS bersedia untuk sebarang kemungkinan dan jentera kita bersedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 5:09 PM