IMAM dari Terengganu, Mohd Zaki Mat Yakim, 44 (kanan) bakal mencipta sejarah apabila dipilih menjadi imam di Masjid Darul Imaan Sydney, New South Wales Australia pada Hari Raya Aidilfitri ini. FOTO Ihsan Mohd Zaki Mat Yakim
Malik Muhamad
cnews@nstp.com.my


ANAK Terengganu, Mohd Zaki Mat Yakim, 44 bakal mencipta sejarah kali kedua apabila diberi penghormatan mengimamkan solat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah raya dalam bahasa Inggeris di Masjid Darul Imaan Sydney, New South Wales (NSW), Australia.

Tahun lalu, Penolong Pengarah Tajaan dan Transformasi Mahasiswa Yayasan Terengganu itu melakar sejarah pertama buat negeri apabila mengimamkan solat Aidilfitri dan membaca khutbah Aidilfitri dalam bahasa Inggeris di Robin Webster Sport Club Tempee, Sydney, Australia di depan masyarakat pelbagai bangsa.

"Saya rasa bersyukur dan bertuah diberi peluang oleh kerajaan Terengganu buat kali kedua untuk membawa bendera negeri di persada dunia.

"Insya-Allah saya akan pikul amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin bersama masyarakat Islam di Sydney bagi memastikan syiar agama Islam terus berkembang di serata dunia," kata anak jati Air Putih Kemaman itu.

Selain akan bertugas sebagai imam dan membaca khutbah Aidilfitri, beliau juga dilantik sebagai imam solat Tarawih di Masjid Darul Imaan bermula 30 Mei lalu dan kehadiran pendakwah dari Terengganu itu disambut begitu gembira oleh masyarakat setempat termasuk mereka yang berketurunan Indonesia, Pakistan, Singapura dan Bangladesh.

"Hari pertama tiba di masjid berkenaan yang mampu memuatkan 800 jemaah, saya disambut dengan perasaan syukur dan gembira oleh masyarakat Islam di sana.

"Ini satu penghormatan yang tinggi dizahirkan masyarakat Islam di sana kepada imam dari Malaysia, oleh sebab itu pentadbiran Masjid Darul Imaan itu berharap kerajaan negeri Terengganu yang baharu ini dapat menjalin hubungan baik dan meneruskan penghantaran imam solat Tarawih dan Aidilfitri selain berharap kerajaan negeri dapat datang ke masjid berkenaan," kata Mohd Zaki.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah, Masjid Darul Imaan yang diuruskan oleh Islamic Malay Australian Association Sydney adalah gereja.

"Pada tahun 1998, pendakwah Terengganu, Almarhum Abdul Malek Mohd Yusof mengambil alih gereja itu untuk dijadikan masjid dengan pertolongan bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Seri Wan Mokhtar Ahmad.

"Hingga kini masyarakat Islam di Sydney menyanjung tinggi usaha dan dakwah yang dibawa oleh Terengganu dan Malaysia dalam mengembangkan lagi syiar Islam di sana," kata Mohd Zaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 5:06 PM