Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@nstp.com.my


LELAKI warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh rakan sekerja dalam kejadian di asrama pekerja sebuah kilang makanan di Jalan Bukit Tambun, Juru, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, mangsa, Sai Ko Ko, 20-an, yang bekerja di kilang berkenaan ditemui mati dalam keadaan terbaring dengan dua tikaman di bahagian dada kiri dan satu kesan kelar di bahagian pipi kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan seorang suspek, yang juga rakan senegara, bergaduh dalam keadaan mabuk.

"Akibat perselisihan faham itu, suspek yang dikenali sebagai Maung, 23, menikam mangsa dan melarikan diri bersama seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Naing Naing.

"Hasil siasatan di tempat kejadian juga mendapati kawasan berkenaan mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan insiden itu dirakam CCTV," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, susulan itu polis menahan enam individu, termasuk kakitangan di bahagian Sumber Manusia dan pemilik kilang makanan berkenaan, untuk membantu siasatan.

Katanya, mangsa dan dua suspek terbabit dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka sudah bekerja di kilang berkenaan sejak dua bulan lalu.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:41 PM