TABUNG kubur yang diletakkan di perkarangan surau dan kubur. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


KEASYIKAN lelaki ‘memancing’ duit daripada tabung besi diletakkan di pekarangan Masjid Tok Duku, Kampung Kebakat, Tumpat membawa padah apabila dicekup penduduk kampung, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika sedang mengait duit menggunakan dawai besi daripada tabung yang dikhususkan untuk Tanah Perkuburan Dusun Durian.

Dia bagaimanapun bernasib baik apabila dilepaskan selepas kejadian berkenaan.

Penjaga kubur, Yaakob Ismail, 69, berkata, kejadian disedari seorang penduduk kampung yang melihat kelibat lelaki mencurigakan yang membongkokkan badannya berhampiran tabung terbabit.

“Penduduk kampung itu kemudian menangkap lelaki berkenaan dan mengikat tangannya bagi mengelakkan dia melarikan diri.

“Ketika kejadian saya tiada di lokasi kejadian. Namun saya difahamkan lelaki itu dilepaskan selepas kejadian. Atas sebab apa, saya kurang pasti,” katanya ketika ditemui di Tumpat, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini sudah beberapa kali kejadian sama berlaku dengan kecurian secara mengait duit atau memecahkan mangga.

“Tabung kubur ini sengaja diletakkan di pekarangan masjid bagi memudahkan jemaah dan orang ramai bersedekah untuk menampung kos membersihkan tanah perkuburan di sebelah masjid ini.

“Seminggu sekali wakil tabung yang diamanahkan akan mengutip wang tabung itu bagi mengelak dicuri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 6:24 PM