SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Seri Manjung. Foto Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


LIMA individu termasuk tiga remaja berusia 18 dan 19 tahun yang didapati positif dadah jenis syabu serta ganja diberkas polis dalam Op Samseng Jalanan di Seri Manjung Manjung, hari ini.

Operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bermula 10 malam sehingga 5 pagi itu turut menyita 10 motosikal yang terbabit pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan serta terbabit lumba haram.

Ketua JSPT Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, operasi berkenaan dijalankan di empat lokasi berasingan sekitar Manjung dengan mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Perbandaran Manjung.

Menurutnya, seramai 150 penunggang motosikal diperiksa dalam operasi cegah lumba haram yang dijalankan di Jalan Ayer Tawar-Lumut; berhampiran Pusat Bowling Ocean Bowl; berhampiran Hospital Pantai Manjung dan pasar raya AEON serta Jalan Manjung Point.

"Lima lelaki berusia 18 hingga 24 ditahan pihak AADK mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 kerana didapati positif dadah jenis ganja dan syabu.

"Selain itu polis turut menyita 10 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, empat jalan berkenaan dikenal pasti menjadi lokasi panas aktiviti lumba haram terutama pada hujung minggu sehingga mengganggu ketenteraman awam serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Sebanyak 94 saman dikeluarkan membabitkan 71 motosikal yang mempunyai pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen, mengubah suai kenderaan, tiada cermin sisi, tidak menampal pelekat P atau L dan tidak memakai topi keledar.

"Kesalahan tiada lesen adalah paling banyak dikesan membabitkan 25 penunggang, manakala ubah suai motosikal sebanyak 24 kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 3:12 PM