RINA (kanan) bermesra dengan anak kecil selepas menyampaikan sumbangan pada Program Jalinan Kasih Wilayah di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Saifullizan Tamadi.
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


AHLI Parlimen Pakatan Harapan di ibu negara akan membuat keputusan mengenai perancangan mewartakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, selepas Aidilfitri.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Mohd Harun, berkata semua 11 Ahli Parlimen PH itu dijangka mengadakan pertemuan selepas Hari Raya dan memutuskan beberapa perkara khususnya mengenai pelan yang diwujudkan sejak 10 tahun lalu.

“Kami masih memperhalusi perancangan (untuk mewartakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020). Kita dah buat perjumpaan dua kali, akan ada lagi perbincangan selepas Aidilfitri dan kami akan putuskan.

“Ada beberapa perkara berada di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan, jadi kami masih menunggu (untuk menteri bertanggungjawab bagi Kuala Lumpur dilantik).

“Jadi kami perlu tunggu Perdana Menteri umumkan (menteri bertanggungjawab). Namun, saya tidak tahu sama ada Kementerian Wilayah Persekutuan akan dikekalkan atau digabungkan dengan kementerian lain," katanya ketika ditemui pada Program Khas Jalinan Kasih Wilayah di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada program berkenaan, Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar meluangkan masa sejam untuk menyampaikan pakaian kepada golongan miskin dan gelandangan.

Program Khas Jalinan Kasih Wilayah anjuran Exco Kebajikan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu memberi sumbangan kira-kira 1,000 pakaian kepada lebih 600 golongan miskin dan gelandangan di ibu negara.

Turut hadir, Exco Kebajikan ARMADA, Mohd Nurhalis Shafiq Sham Suri dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangannya di peringkat kementerian, Rina berkata, pihaknya sudah menyiapkan pelan tindakan berhubung inisiatif yang bakal dilaksanakan, khususnya untuk merancakkan ekonomi luar bandar.

“Kami sudah bincang mengenai isu utama yang akan diketengahkan membabitkan belia, ekonomi, Internet, pendidikan serta beberapa program keusahawanan untuk merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar.

“Pelan tindakan sudah ada dan akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 1:13 AM