MARZUKI meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas ke dalam parit di Kilometer 70.1 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, petang semalam. FOTO ihsan polis.
Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


LELAKI dipercayai dalam perjalanan pulang untuk berbuka puasa, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas ke dalam parit di Kilometer 70.1 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, petang semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa Marzuki Othman, 63, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Kluang ke Kahang.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa tiba-tiba gagal dikawal sebelum terbabas dan memasuki ke laluan bertentangan.

“Kenderaan pacuan empat roda berkenaan terbabas ke dalam parit menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 12:50 AM