KENYATAAN pencarian yang dibuat oleh UiTM Lendu berhubung kehilangan Norazwa.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


PENUNTUT Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, di Alor Gajah, dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke kampus terbabit, sejak Ahad lalu.

Kehilangan Norazwa Rashid, 20, pada 3 Jun lalu itu membimbangkan keluarganya sehingga mereka cuba mencari sendiri gadis terbabit termasuk mengunjungi UiTM Lendu, semalam.

Difahamkan, Norazwa penuntut bidang perbankan tiba di kampus terbabit pada 2 Jun lalu, dan rakan sebiliknya mendedahkan kali terakhir bertemu gadis itu, pada 10 pagi, Ahad lalu.

Kakak Norazwa, Rabiatul Azlin Rashid, 21, berkata, dia ke UiTM Lendu semalam, bersama ibu serta abang sulungnya, untuk mencari Norazwa.

"Saya ada bertemu rakan sebiliknya, dan rakannya itu ada memberitahu kali terakhir bertemu adik saya pada Ahad lalu, kira-kira jam 10 pagi.

"Saya diberitahu, adik saya selepas itu keluar dengan seorang lelaki tidak dikenali," katanya.

Katanya, pemeriksaan bilik di kolej mendapati adiknya tidak membawa dokumen penting termasuk MyKad dan surat beranak.

Menurutnya, dia turut menjumpai resit pembayaran KFC Alor Gajah, bertarikh 2 Jun lalu.

Malah katanya, adiknya hanya meninggalkan pakaian untuk ke kuliah, manakala pakaian lain tidak ditemui.

Terdahulu, ibu kepada Norazwa, Rosmawati Mohd Ramli, 46, turut membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada Rabu lalu di Balai Polis Wangsa Maju,

Rabiatul Azlin turut membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 4:51 PM