KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut selepas kereta dipandu merempuh pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, hari ini.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari, mangsa Mohd Arbai Abu Ngamat, 45, yang memandu Proton Saga, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman.

Pemandu Toyota Hilux berusia 52 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah bertentangan sebelum kejadian.

“Ketika kejadian, pemandu Toyota Hilux dari arah Jalan Parit Baru sedang menuju ke Jalan Sungai Tengar manakala mangsa dari arah bertentangan.

“Mangsa yang memandu seorang diri dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu kanan jalan.

“Dia kemudian cuba masuk semula ke laluan asal sebelum bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 10:20 PM