AIDA (kanan) bersama Luqman Hakim. Gambar kecil, Abdul Jalil (tiga dari kiri) menyaksikan Wan Kamaruzaman (duduk) menunjukkan bakat melukis ketika pelancaran pameran lukisan oleh Luqman Hakim di Galeri Prima, Balai Berita NSTP, Bangsar. FOTO Amirudin Sahib.
Syalikha Sazili
syalikha@nstp.com.my


SEBANYAK 71 karya seni dihasilkan pelukis, Luqman Hakim Khairul Azwa, 16, dipamerkan di Galeri Prima, Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Bangsar, Kuala Lumpur.

Pameran sulung itu mempunyai keunikan tersendiri kerana ia dihasilkan remaja berkenaan yang menghidap dyspraxia.

Ibunya, Aida Lim Abdullah, 49, berkata lukisan dipamerkan itu menceritakan perjalanan Luqman Hakim bersama anjing diberi nama Woofy yang seolah-olah mencari pelukis tersohor, Vincent Van Gogh.

Katanya, lukisan adalah cara Luqman Hakim meluahkan rasa dan diterjemahkan dengan cara tersendiri.

“Jika diperhatikan pada setiap lukisan ada anjing hitam diberi nama Woofy, ia adalah karakter yang wajib ada pada setiap karyanya.

“Luqman Hakim tidak seperti penghidap dyspraxia lain, beliau cukup peka dengan emosi dan pandai meluahkannya.

“Kisah di sebalik anjing hitam itu adalah beliau menyaksikan kejadian anjing peliharaan gurunya terbabit dalam kemalangan.

“Justeru, daripada kesedihan itu, beliau wujudkan karakter Woofy pada setiap lukisan yang juga diterjemahkan sebagai kawannya,” katanya ketika ditemui pada perasmian pameran lukisan yang bertajuk ‘Art stories by Luqman Hakim’ & ‘Woofy Looking for Vincent Van Gogh’.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Amanah Pencen, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

Kedua-duanya sempat meluangkan masa untuk berkarya bersama pelukis pameran, di samping berbuka puasa bersama 40 anak yatim dari Rumah Raudhatul Nurr Jannah, Gombak.

Pameran bermula 6 Jun lalu sehingga 29 Jun depan itu dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi sehingga 5 petang dan temu janji perlu dilakukan untuk kunjungan pada hujung minggu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Galeri Prima di talian 03-27248300.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 10:16 PM