KEADAAN motosikal mangsa yang maut akibat dirempuh sebuah kereta di Kilometer 22 Jalan Seremban-Tampin, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Khairul Najib Asarulah Khan
news@nstp.com.my


BEKAS anggota polis maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Kilometer 22 Jalan Seremban-Tampin berdekatan persimpangan Jalan Sepri, Rembau, malam tadi.

Kejadian 9.50 malam itu menyebabkan Zawawi Mohd, 35 maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 30-an dari arah Seremban menuju ke Tampin hilang kawalan lalu masuk ke Jalan Sepri dan merempuh motosikal Kawasaki Ninja 150 RR ditunggang mangsa.

"Mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:06 PM