Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


LENGAN kiri lelaki yang maut diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan PJS 2B/3, Metro Square, PJS 2, Petaling Jaya, tengah malam tadi, hampir putus akibat ditetak suspek menggunakan senjata tajam.

Susulan daripada kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, polis menemui dua parang diselitkan di bawah kenderaan yang diparkir berhampiran tempat mangsa di serang selain turut menahan dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohd Zani Che Din berkata, mangsa S Ravindran, 22, diserang berhampiran kedai basuh kereta, berhadapan blok 10, Desa Mentari 2, sebelum melarikan diri.

"Siasatan awal mendapati kejadian bermula di tempat basuh kereta berhadapan Blok 10, flat berkenaan. Ketika kejadian mangsa sedang berada di atas motosikal dan diserang kira-kira 20 lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun menggunakan parang.

"Mangsa melarikan diri ke arah kawasan Metro Square dan terjatuh di tepi Jalan PJS 2B/3, dalam jarak kira-kira 200 meter dari tempat mangsa diserang, " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat kesan calar pada bahu sebelah kiri, di bawah lengan kiri terdapat kesan tetak dan terdapat luka di pergelangan tangan kiri.

"Siasatan lanjut menjumpai dua parang jenis Brazil diselitkan di bawah kenderaan yang diletakkan berhampiran tempat mangsa di serang.

"Susulan daripada kejadian ini, pihak kami menahan dua lelaki berusia 30 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Kejar 200 meter sebelum tetak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 8:53 AM