HALIF (duduk tengah) bersama ahli alumni kampus berkenaan meminta fungsi IPG Tun Hussein Onn dikekalkan, hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


PERSATUAN Alumni Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn (IPGKTHO) Batu Pahat merayu kerajaan supaya membatalkan rancangan penutupan institut berkenaan untuk ditukarkan fungsinya sebagai kolej vokasional seperti dirancang kerajaan terdahulu.

Penaungnya yang juga bekas Pengarah IPGKTHO, Dr Hamzah Ihsan berkata, institusi pendidikan itu wajar dikekalkan sebagai pusat latihan pendidikan guru di Johor berikutan ia menjadi kampus utama IPG di zon selatan negara.

Katanya, pihaknya dimaklumkan terdapat tiga kolej vokasional yang baharu sudah siap dibina di negeri ini, namun belum beroperasi menjadikan alasan penutupan IPG itu untuk dijadikan kolej berkenaan sebagai tidak relevan dan logik.

“Kami merayu kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan melihat kembali keputusan kerajaan terdahulu yang mengumumkan sembilan IPG akan ditukar fungsinya kepada kolej vokasional atau politeknik serta dua kepada Pusat PERMATA yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2017.

“Keputusan berkenaan dilihat tidak selari dengan visi baharu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu mengecilkan jumlah murid di dalam kelas selain mewujudkan jawatan pembantu guru yang semestinya memerlukan lebih ramai guru terlatih.

“Sedangkan buat masa ini, IPG sedia ada di negara kita hanya mampu mengeluarkan kapasiti 25,000 guru dalam tempoh setiap lima tahun dan jika IPG ditutup dan ditukar fungsi, visi Menteri Pendidikan sukar dicapai sekali gus mengurangkan jumlah guru baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Kekalkan Fungsi IPGKTHO di Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Alumni IPGKTHO Halif Md Salleh dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP ) Johor Tee Wee Meng.

Pada majlis itu, seramai 200 ahli alumni hadir menurunkan tandatangan pada petisyen selain memberi sokongan serta menyaksikan penyerahan memorandum kepada wakil Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahrudin Md Salleh.

Halif berkata, pihak alumni sudah menghantar surat kepada Menteri Pendidikan yang baharu, dua minggu lalu bagi merayu supaya IPGKTHO Batu Pahat dikekalkan.

Katanya, memorandum setebal kira-kira 130 muka surat juga sudah disiapkan dan akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam masa terdekat.

“Antara pengisian memorandum itu termasuk IPGKTHO Batu Pahat sebagai IPG utama zon selatan yang mempunyai prasarana lengkap dan bertaraf dunia.

“IPGKTHO Batu Pahat juga mendapat Penarafan Enam Bintang (star rating) empat tahun berturut-turut dari 2014 hingga 2017 selain disenaraikan dalam kelompok enam IPG terbaik di Malaysia daripada 27 IPG,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 5:25 PM