Rahmat Khairulrijal dan Siti A'isyah Sukaimi dan Suhaila Shahrul Annuar
cnews@nstp.com.my


TIGA perkara akan menjadi keutamaan Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas dalam menjalankan tugasnya antara lain termasuk siasatan terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, dua lagi fokus adalah memansuhkan undang-undang yang menindas terutama yang dibuat secara tergesa-gesa seperti Akta Anti Berita Tidak Benar dan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan.

"Selain itu, keutamaan akan saya berikan bagi mengkaji semula pelaksanaan kontrak antarabangsa yang dibuat pentadbiran terdahulu yang didapati bercanggah dengan kepentingan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada hari pertama melapor diri di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata berhubung siasatan 1MDB, tiada sesiapa yang akan terlepas atau dilindungi.


THOMAS (tengah, kanan) ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

Beliau turut memaklumkan surat perlantikan sebagai Peguam Negara diterima pagi tadi dan lantikannya berkuat kuasa Isnin lalu selama dua tahun.

Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara.

Pelantikan Thomas, 66, dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Dr Mahathir mencadangkan Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berita berkaitan

Peguam Negara mula tugas

'Pelantikan Tommy tidak gugat Perlembagaan' [METROTV]

'Tanggungjawab hebat' [METROTV]

Semoga berjaya di kerusi panas... - Apandi

Tommy Thomas dilantik Peguam Negara

Tak mahu krisis perlembagaan - Muhyiddin

Usaha selesai pelantikan Peguam Negara - PM [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 3:19 PM