PENGARAH JKM Kedah, Azmi Abd Karim (tengah) bersama anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi menyoal seorang wanita yang membawa anaknya OKU di Kepala Batas. FOTO/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my

WANITA sanggup mengambil kesempatan membawa anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) dalam keadaan panas terik semata-mata untuk meminta sedekah di bazar Ramadan Kepala Batas, Jitra, semalam.

Wanita berusia 40-an itu dikatakan bertindak membawa anaknya yang berusia anggaran belasan tahun itu hanya untuk menagih simpati orang ramai yang membeli juadah untuk berbuka puasa di situ.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Kubang Pasu, Wan Mohd Helmy Wan Daud berkata, Operasi Menyelamat Pengemis dan Kempen Bijak Elak Ditipu itu bermula 6 petang di kawasan bazar Ramadan.

Beliau berkata, operasi yang turut disertai Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Azmi Abd Karim membabitkan 20 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuklah JKM, Jabatan Imigresen Kedah (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu.

“Sebaik menemui wanita yang membawa anaknya itu meminta sedekah, kita menasihatinya supaya tidak melakukan kegiatan seperti itu lagi kerana ia nampak seolah-olah hendak mengeksploitasikan kanak-kanak bagi mendapatkan wang.

“Hasil siasatan JKM juga mendapati, kanak-kanak itu mendapat bantuan bulanan RM350 berikutan keadaan yang dialaminya, namun wanita terbabit masih melakukan kegiatan yang tidak sepatutnya itu,” katanya di sini semalam.

Wan Mohd Helmy berkata, wanita itu tidak sepatutnya membawa anaknya yang terlantar atas kerusi dengan keadaan cuaca panas dan orang ramai lalu lalang untuk membeli juadah makanan di situ.

Katanya, wanita itu dipercayai melakukan perbuatan itu bukan saja di kawasan Kepala Batas bahkan di beberapa kawasan lain termasuk Alor Setar yang dirasakan sesuai untuknya mendapatkan sumbangan.

“Dia memberi alasan suaminya tidak sihat menyebabkan dia terpaksa melakukannya selain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Bagaimanapun, kita tidak menahan mereka sebaliknya meminta dia beredar dari kawasan itu bersama anaknya.

“Selain itu, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki warga asing berusia lewat 30-an kerana meminta sedekah di kawasan bazar itu dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Wan Mohd Helmy berkata, sehubungan itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan bazar Ramadan boleh menyalurkan kepadanya untuk memudahkan tindakan diambil.

Beliau berkata, kempen itu bertujuan mendidik masyarakat supaya menyalurkan sumbangan atau derma yang betul dan pemberian bantuan atau derma boleh disalurkan kepada rumah anak-anak yatim, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan rumah ibadat berdaftar serta bukan kerajaan, Pusat Kutipan Zakat, Baitulmal serta lain-lain.

“Melalui kempen ini, usaha membersihkan imej negara dari gejala pengemis di kawasan bandar bergantung pada kerjasama masyarakat serta rasa tanggungjawab semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:16 AM