SITI Amina menunjukkan laporan berita kejadian menimpa suami dan dua cucunya. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


KEBAKARAN yang meragut nyawa suami serta dua cucu sudah berlalu hampir dua tahun, namun bagi Siti Amina Lani, 65, tragedi itu bagaikan berlaku semalam.

Jika Ramadan sebelum ini, ibu kepada dua anak itu sibuk menyediakan ‘burasak’, menu tradisi berbuka puasa dan Aidilfitri bagi masyarakat Bugis bersama resipi ayam masak lengkuas kegemaran arwah suami serta dua cucunya, namun kini ia tinggal kenangan.

Dalam tragedi pada 14 November 2016, suami Siti Amina, Usman Lawidu, 60, serta dua cucunya, Nurul Natasha Abdullah dan Nurul Musdalifah, masing-masing berusia 11 dan 10 tahun ditemui rentung dalam sebuah bilik di rumah mereka di Kampung Baru, Batu 18, di Sandakan.

Mengimbau peristiwa itu, Siti Amina berkata, ketika kejadian, dia berada di Hospital Duchess of Kent, Sandakan menjaga seorang lagi cucunya yang sakit dan cuma mengetahui kejadian menimpa suami serta dua cucunya selepas api dipadamkan pada jam 4.30 pagi.

“Siapa tak sedih apabila tiga orang pergi sekali gus, lebih-lebih lagi hanya suami tempat bergantung. Ramadan sebelum ini, arwah suami dan cucu paling gembira kerana boleh makan burasak, namun Allah lebih menyayangi mereka.

“Aidilfitri yang bakal tiba menguatkan lagi ingatan saya kepada mereka,” katanya ketika ditemui.


LOKASI kebakaran yang mengorbankan suami Siti Amina dan dua cucunya. FOTO Poliana Ronnie Sidom

Siti Amina berkata, selepas kejadian itu, dia dan anak sulungnya, Suhemi, 36, yang juga ibu kepada Nurul Natasha dan Nurul Musdalifah berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila di Sandakan.

Seorang lagi anak Siti Aminah, Sumiah, 30, adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Kapal Auksiliari Bunga Mas Lima berpangkalan di Sepanggar,

Kota Kinabalu.

Sementara itu, Sumiah berkata, dia bakal bernikah pada Jun depan dengan bakal suami berasal dari Melaka dan berwali hakim.

“Dulu kalau balik raya, saya selalu beli baju Melayu untuk bapa. Rindu juga mahu beli baju raya tetapi dalam keluarga kini kami cuma tinggal berempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:13 AM