Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Tidak kira semeriah mana sekalipun penyediaan juadah berbuka puasa, makanan pertama yang disuap ke mulut sangat penting diambil kira. Dalam keadaan usus mengecil berbanding kebiasaan, makanan berat, berminyak, pedas, tinggi kalori dan lemak mungkin boleh membuatkan perut tidak selesa selepas berbuka.

Sebab itu ramai pakar pemakanan mencadangkan buah-buahan dan salad sayuran dijadikan juadah pembuka selera setiap kali berbuka puasa atau makan.

Ketika berpuasa, tubuh tidak mendapat tenaga yang cukup berikutan kurangnya pengambilan karbohidrat. Apabila keadaan ini berlaku, badan akan bertindak membakar lemak dan menukarkannya menjadi tenaga.

Dalam situasi ini, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran mampu memberi kesegaran pantas, sekali gus merangsang tubuh untuk kembali bertenaga.

Tesco Eat Fresh menawarkan pelbagai pilihan buah dan sayur segar yang pastinya memenuhi keperluan setiap keluarga.

Tentukan penyediaan juadah minuman sihat dengan membuat sendiri jus buah menggunakan buah-buahan mengikut cita rasa sendiri sama ada jus epal, oren, tomato, lobak atau gandingkan beberapa jenis buah bagi mendapatkan kesegaran serta keunikan rasa untuk berbuka.

Potong kiub sebiji epal merah dan hijau, pir, strawberi, kedondong, nanas dan lobak merah. Kemudian, gandingkan bersama pilihan salad segar seperti Butterhead Muda, Koral Merah, Green Oakleaf, tomato ceri merah dan kuning serta lada besar tiga warna. Beri anak-anak dan keluarga peluang memilih sendiri sos salad kegemaran mereka.

Bagi yang sukakan gaya masakan kampung, Taugeh Hijau keluaran Tesco Eat Fresh cukup enak digoreng kilas bersama ikan bilis, cili padi dan taucu.

Hidangan paling ringkas juga boleh disediakan dengan merebus bayam merah bersama hirisan bawang atau gril saja labu zukini, asparagus serta tomato ceri yang siap diperasakan. Lengkapkan hidangan meja dengan terung peparu bakar bersama air asam. Amalan pemakanan sihat seperti ini sebenarnya tidaklah sukar. Selain kandungan serat yang tinggi, buah dan sayur juga mampu membantu menghidrat kembali tubuh dan mengelakkan risiko sembelit.

Pengambilan buah-buahan umpamanya, membantu menyejukkan badan, melengkapkan keperluan vitamin, melancarkan proses pencernaan serta menjadikan kulit kelihatan menawan.

Paling utama, penyediaan makanan sihat di rumah lebih menjimatkan dan terjamin selamat berbanding membeli di bazar atau gerai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 10:00 AM