KEADAAN kenderaan selepas kemalangan yang membabitkan Proton Wira bertembung dengan lori, di Kilometer 47 Jalan Semporna-Tawau. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


PENUMPANG wanita maut, manakala pemandu cedera selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan lori di Kilometer 47 Jalan Semporna-Tawau, Semporna, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, Rafeah Dumpas, 58, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah pada bahagian badan akibat tersepit manakala pemandu, Asrol Omar Basa, 23, patah kaki kanan.

Pemandu lori bersama dua kelindan, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Anak Umbuas, ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Wira hilang kawalan selepas menaiki bukit sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Siasatan awal mendapati kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan cuaca cerah dengan permukaan jalan berselekoh serta garisan tengah bertanda garisan berkembar.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 8:50 AM