ANWAR disambut penyokong ketika hadir pada Majlis Moreh bersama Rakyat di Dataran Keris, Alor Gajah, malam tadi. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.
Nur Saliawati Salberi dan Amir Mamat
cnews@nstp.com.my


RAKYAT khususnya orang Melayu tidak perlu risau dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara kerana ia tidak menggugat sama sekali Perlembagaan serta institusi Raja Melayu.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Tommy perlu mematuhi segala ketetapan dalam Perlembagaan negara, selain mentaati institusi Raja.

“Saya yakin beliau (Tommy) terikat atas dasar Perlembagaan dan saya yakin beliau akan bertindak atas kuasa dan dasar yang ada dalam Perlembagaan, dia tidak boleh langgar.

“Keprihatinan dititahkan oleh Raja-Raja Melayu yang disuarakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V adalah untuk memberi keyakinan tambahan kepada orang Melayu bahawa pelantikan ini berlaku dan baginda percaya Tommy akan tetap menjaga kepentingan Melayu dan institusi Islam seperti diperuntukkan (dalam Perlembagaan),” katanya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata demikian selepas menghadiri Majlis Moreh Bersama Rakyat di Dataran Keris, Alor Gajah, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Anwar mengulas mengenai kunjungan menghadap ke atas Sultan Muhammad V di Kelantan, malam kelmarin bagi membincangkan mengenai pelantikan Peguam Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, kunjungan Anwar ke Melaka adalah yang pertama selepas mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Berita berkaitan

'Tanggungjawab hebat' [METROTV]

Semoga berjaya di kerusi panas... - Apandi

Tommy Thomas dilantik Peguam Negara

Tak mahu krisis perlembagaan - Muhyiddin

Usaha selesai pelantikan Peguam Negara - PM [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 1:50 AM