GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


IBU dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas pertuduhan mendera anak lelakinya berusia enam tahun dengan menyimbah air panas pada kanak-kanak itu sehingga melecur, minggu lalu.

Tertuduh, Chin Wei Ling, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang bekerja sebagai jurujual, didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki itu dengan mencurahkan air panas pada badannya menyebabkan lecur pada dada, kaki dan punggung mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah, Kondo Ritze Perdana, Jalan PJU 8/2, Damansara Perdana, dekat sini, kira-kira 11 pagi, 29 Mei lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana tidak berkemampuan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 4:27 PM