BUKTI makanan dan minuman yang ditemui. FOTO Ihsan MPKB
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


LELAKI berusia 70 tahun memberi alasan muntah pada sebelah pagi menyebabkan dia tidak berpuasa dan makan tengah hari di sebuah kedai makan di Jalan Zainal Abidin, di Kota Bharu.

Helahnya terbongkar selepas ditahan dalam Ops Tidak Puasa oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), semalam.

Selain warga emas itu, lima lagi lelaki berusia 50-an ditahan dalam operasi dijalankan antara jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari di tiga lokasi dekat Lembah Sireh, Jalan Zainal Abidin dan bandar Kota Bharu.

Ketua Unit Operasi MPKB-BRI, Mohd Halimie Md Salleh berkata, semua mereka diambil keterangan dan dikenakan notis kompaun RM500 kerana tidak berpuasa.

Beliau berkata, mereka juga diberi tempoh seminggu untuk hadir kaunseling dan kegagalan hadir boleh didakwa di Mahkamah Syariah.

“Ketika kita buat serbuan, mereka sedang makan termasuklah warga emas terbabit dan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kami.

“Kita berjaya mengejar dan menahan mereka dan notis kompaun dikenakan kerana kesalahan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu disertai 12 anggota MPKB-BRI dan 12 pegawai JAHEAIK.

Katanya, notis kompaun turut dikeluarkan kepada sebuah premis makanan kerana beroperasi sebelum jam 3 petang, selain memantau lima premis makanan kerana didakwa menyajikan makanan untuk orang tidak berpuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 1:20 PM