ANGGOTA bomba menyelamatkan Derahim yang terjun ke dalam perigi di Kampung Lembah Sireh, Kota Bharu, hari ini. FOTO Ihsan JPBM
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


WARGA emas mendakwa mendengar 'suara ghaib' hingga menyebabkannya terjun ke dalam perigi di sebuah rumah terbiar di Kampung Lembah Sireh, Kota Bharu, hari ini.

Bagaimanapun, mangsa Derahim Awang, 67, tidak cedera dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan.

Difahamkan, lelaki itu bertindak terjun ke dalam perigi sedalam 0.5 meter itu yang terletak 30 meter dari rumahnya pada 11.30 pagi.

Kejadian itu disedari oleh keluarganya sebaik kelibat mangsa tidak kelihatan lalu keluar mencarinya di sekitar kampung termasuk ke rumah terbiar dan menuju ke perigi.

Keluarga mangsa yang terkejut memaklumkan kepada pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim Pegawai Bomba Kanan II Tengku Marzuki Tuan Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.49 pagi.

Menurutnya, tujuh anggota ke lokasi berkenaan bagi mengeluarkan mangsa dari dalam perigi itu dalam tempoh kurang 30 minit.

“Ketika sampai mangsa yang memakai baju dan berkain pelikat dalam keadaan kesejukan dan pasukan kita menggunakan peralatan khas untuk membawanya keluar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 9:39 PM