SEBAHAGIAN pegawai dan Anggota di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang terharu di atas ingatan NSTP yang menyumbangkan pek berbuka puasa menerusi #HMKotakRezeki 2018 di Pulau Indah di sini. -Foto RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


PEGAWAI dan anggota di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang, di Pelabuhan Klang terharu dengan ingatan rakan media yang menghulurkan bekalan berbuka puasa menerusi #HMKotakRezeki 2018.

Pegawai Pemerintah Kapal Ronda PT 2, Asisten Superintendan Suhadi Mat berkata, sumbangan itu sekurang-kurangnya memudahkan anggota yang bertugas ketika tiba waktu berbuka atau bersahur.

Berterima kasih kepada pihak media yang peka dengan tugasan anggota marin, beliau berkata, pasukan keselamatan tetap menjalankan tugas seperti biasa dalam bulan puasa.

“Biasanya semua anggota bebas membeli makanan sendiri dengan Pandamaran adalah lokasi bazar Ramadan paling dekat untuk anggota membeli juadah berbuka.

“Tempat ini jauh dari lokasi umum, iaitu kira-kira satu atau dua kilometer dari kawasan bazar Ramadan terdekat,” katanya pada majlis penyerahan 50 #HMKotakRezeki 2018 oleh wakil NSTP di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1.

Suhadi berkata, anggota yang bertugas 24 jam sehari akan diberikan keutamaan dalam pengagihan kotak rezeki terbabit.

Katanya, kotak rezeki itu akan diutamakan kepada mereka yang ‘standby’ terlebih dahulu iaitu anggota di bilik pengawal, bilik kawalan 24 jam dan anggota bertugas di atas Kapal PT 2 KPD Setia, selebihnya baru diagihkan kepada anggota yang bertugas waktu biasa.

“Di atas kapal, tugasan selama 24 jam setiap hari, cuma kru sahaja bertukar setiap empat jam. Anggota akan ‘standby’ dalam kapal kerana air pasang surut. Macam sekarang air surut, apabila air pasang, tali perlu diketatkan dan dilonggarkan apabila air surut, jika tidak kapal berenggang jauh.

“Itu antara tugas mereka, begitu juga kebersihan dan keselamatan kapal. Anggota perlu sentiasa pantau bahan elektrik di dalam kapal yang mudah terbakar termasuk enjin bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Begitu juga yang bertugas di bilik gerakan. Justeru, pek bekalan berbuka begini memudahkan anggota,” katanya.

Beliau berkata, liputan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang membabitkan seluruh perairan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 6:04 PM