FAZLISYAM (kanan) menunjukkan kabel elektrik dan peralatan yang dirampas susulan penahanan Geng Jepun yang terbabit dalam kes curi kabel di Marang. -Foto GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


KEDUDUKAN rumah pusaka yang agak tersorok di Kampung Tasek, di Kuala Terengganu membongkar aktiviti Geng Jepun yang aktif memproses kabel curi milik syarikat telekomunikasi sebelum dijual.

Rumah milik ketua kumpulan berusia 30 tahun itu dijadikan ‘port’ enam lelaki termasuk dua beradik berusia 21 hingga 42 tahun untuk melakukan jenayah berkenaan sejak awal tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan licik kumpulan berkenaan terbongkar selepas modus operandi berjaya dihidu pihak berkuasa dan mereka ditahan dalam serbuan berasingan sempena Ops Lusuh antara 26 hingga 31 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, modus operandi kumpulan itu terbongkar hasil maklumat dan risikan pihaknya selama beberapa bulan.

“Mereka ini bergerak berkumpulan sama ada dengan kereta atau motosikal dan dua orang akan memotong kabel, manakala dua orang lagi memantau keadaan sekeliling.

“Kabel itu kemudian dihantar ke rumah pusaka terbabit untuk diproses dengan cara, disiat atau dibakar menggunakan gas butana untuk mendapatkan tembaga di dalam kabel.

“Hasil itu akan dijual kepada pembeli dan kita berjaya menahan seorang lelaki yang juga pembeli barangan lusuh berusia 42 tahun, disyaki membeli tembaga terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, hari ini.

Fazlisyam berkata, siasatan awal dapati kumpulan itu aktif mencuri kabel dan bateri pencawang milik syarikat telekomunikasi di Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.

Katanya, susulan penahanan mereka, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes berkaitan dan merampas 90 kilogram (kg) tembaga serta 280 kg bateri yang dianggarkan bernilai RM4,000.

Turut dirampas, sebuah motosikal Yamaha 125, sebuah van dan beberapa peralatan seperti gergaji, sabit dan tukul yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.

Beliau berkata, enam daripada tujuh suspek positif methamphetamine, sementara empat daripadanya mempunyai rekod lampau membabitkan kes curi dan dadah.

“Kita masih memburu seorang lagi ahli mereka dikenali Kamaruddin Abdullah yang berusia 32 tahun dan berasal dari Kampung Kubu, Marang bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 431A kanun sama kerana khianat dengan membencanakan kabel dan kawat telegraf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 4:17 PM