ANWAR Ibrahim.
Dawn Chan
am@nstp.com.my

Shah Alam: Pertemuan wakil rakyat dan calon pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka pada 6 Jun ini bakal membincangkan pelbagai perkara.

Ia pertemuan pertama Anwar dengan semua calon PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini selain taklimat mengenai hala parti itu serta majlis berbuka puasa.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, mesyuarat itu dicadangkan oleh Anwar serta Nurul Izzah yang menghantar jemputan atas kapasitinya sebagai Pengarah Pilihan Raya.

“Anwar mahu bertemu kami semua kerana beliau belum berjumpa dengan semua calon sama ada menang atau kalah dalam PRU14. Beliau masih belum bertemu dengan kami sejak dibebaskan dari penjara.

“Nurul Izzah sebagai Pengarah Pilihan Raya mengarahkan semua untuk hadir. Semua pemimpin termasuk saya sendiri akan hadir.

“Tidak ada plot besar. Kami tidak ada keperluan untuk berkomplot, Kami sudah menjadi kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tian Chua berkata demikian ketika ditanya mengenai mesyuarat dijadualkan pada jam 3 petang itu dengan kehadiran yang diwajibkan.

Selain itu, turut dilaporkan portal berita The Malaysian Insight, surat jemputan dikeluarkan Nurul Izzah juga menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mewartakan keputusan PRU14.

Surat itu antara lain menyebut, daripada 113 kerusi Parlimen Pakatan Harapan, 49 kerusi atau 42 peratus dimenangi PKR manakala sebanyak 67 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu dimenangi parti berkenaan.

Sementara itu, Nurul Izzah yang dihubungi berkata pertemuan antara Anwar dan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan negeri bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Mesyuarat itu, satu kebiasaan untuk parti ini selepas setiap pilihan raya, adalah untuk membolehkan hubungan antara wakil rakyat kami dengan kepemimpinan tertinggi, terutama sekali Anwar.

“Bagaimanapun, kebimbangan membabitkan peranan sebagai presiden parti dan pemegang jawatan kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) turut diambil maklum. Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat sudah menetapkan mesyuarat Rabu ini diadakan di Hotel One World di Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:04 AM