KEADAAN lokasi kemalangan antara bas ekspres, lori kontena dan lori tangki di Kilometer 142 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Pagoh, Muar, hari ini.
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my


“TIBA-tiba rasa macam ada hentakan, saya buka mata dan (melihat) penumpang lain terpelanting ke hadapan bas.” kata Norazah Hendri, 20.

Wanita itu adalah salah seorang mangsa kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua lori di Kilometer 142 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Pagoh, Muar, hari ini.

Norazah berkata, dia bersama kakak kembarnya, Norizah dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Tanjung Malim, Perak untuk menghadiri sesi temuduga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), esok.

“Saya naik bas di Terminal Bas Larkin dan kakak saya turut menemani ke sesi temuduga. Bagaimanapun, kami tidak duduk bersama kerana saya di depan dan kakak di belakang.

“Ketika kejadian, saya nyenyak tidur sebelum terasa macam ada hentakan. Bila buka mata, saya nampak beberapa penumpang bas seolah-olah terpelanting ke hadapan, di luar bas pun ada orang.

“Kakak saya, Norizah hanya cedera ringan di mulut dan dagu,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.


NORAZAH (kiri) dan Norizah ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar. FOTO Ihsan TV3

Dalam kejadian pada 1.15 tengah hari, seorang pemandu dan dua penumpang bas ekspres maut selepas bas dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori kontena dan lori tangki di kawasan berhampiran persimpangan Plaza Tol Pagoh.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori kontena mengalami kecederaan parah di pinggang, 22 penumpang bas yang lain cedera, manakala kelindan lori dan tiga penumpang lain selamat.

Berita berkaitan

Tiga maut dalam kemalangan bas ekspres, lori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 9:36 PM