JARI pekerja restoran tersepit di dalam mesin pengisar daging dalam satu kejadian, di Piasau Utara, Miri. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


SEKUMPULAN pekerja restoran di Jalan Kenyalang, Piasau Utara, Miri cemas apabila jari tangan kanan seorang rakan mereka tersepit di dalam mesin pengisar daging, hari ini.

Pelbagai usaha mereka lakukan gagal untuk mengeluarkan jari mangsa.

Bimbang kecederaan lebih serius, mereka kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 8.50 pagi.

Beliau berkata, lapan anggota dengan dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, didapati seorang pekerja berusia lingkungan 20-an sedang menahan kesakitan apabila jarinya tersepit di dalam mesin pengisar daging di bahagian dapur restoran berkenaan.

"Anggota kami bertindak meleraikan bahagian mesin berkenaan dan berjaya mengeluarkan jari pekerja terbabit," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut serta memastikan tahap kecederaan yang dialaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 12:18 PM