AKOK dijual Annizan berharga RM4 satu pek (5 biji).
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Kemahiran dan resipi menyediakan kuih tradisional akok yang dipelajarinya daripada ibu saudara yang berasal dari Kelantan dimanfaatkan Annizan Mohd Ali, 44, untuk menambah pendapatan setiap kali Ramadan.

Dia yang berasal dari Perak berkata, gerainya di Bazar Ramadan SS8, Sungai Way di sini, menjadi tumpuan ramai khususnya umat Islam mahu membeli akok sebagai hidangan berbuka puasa.

Katanya, pada peringkat permulaan dia menempah kuih akok itu daripada ibu saudaranya yang kemudian dijual di gerainya

“Tapi bermula tahun 2008 saya belajar cara menyediakan kuih akok ini daripada ibu saudara, bila sudah mahir saya ubah sedikit resipi agar menepati cita rasa pelanggan di ibu kota.

“Antara perbezaan ketara adalah akok saya hasilkan tidak semanis yang dijual di Kelantan. Akok dijual satu pek RM4 (5 biji) dan setiap hari kami sediakan 500 hingga 600 biji untuk jualan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Annizan yang sudah 16 tahun berniaga di bazar berkenaan berkata, selain kuih akok, dia turut mempelajari cara membuat kuih dan makanan lain yang popular di Kelantan seperti lompat tikam, beko, puteri ayu, seri muka, pulut inti serta laksam.

“Semua kuih terbabit saya buat sendiri dan saya mempelbagaikan juadah supaya dapat memberikan pilihan makanan kepada pelanggan.

“Selain berniaga di bazar kami turut menerima tempahan daripada restoran dan kedai makan sekitar Petaling Jaya. Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan kuih boleh menghubungi saya menerusi talian 01124270874 bagi maklumat lanjut,” katanya.

Dia adalah antara usahawan wanita yang terbabit dalam program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).


ANNIZAN menjual pelbagai jenis kuih di Bazar Ramadan SS8 Sungai Way.

Menurut Annizan, inisiatif Coca-Cola KU membantu memajukan perniagaan diusahakan bersama keluarga apabila mendapat publisiti dari media cetak tempatan.

“Inisiatif Coca-Cola KU membantu memperluaskan pasaran kuih saya apabila orang ramai mendapat maklumat mengenai produk makanan yang dijual di gerai ini.

“Kami berterima kasih kepada Coca-Cola KU kerana membantu perniagaan usahawan tempatan dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk memajukan perniagaan bagi menjana pendapatan keluarga,” katanya.

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih 5 juta usahawan wanita menjelang 2020.

Bagi penganjuran di Malaysia, 5by20 adalah program Coca-Cola KU di mana usahawan tempatan akan diberikan sokongan dalam bentuk latihan pengurusan perniagaan dan pendedahan mengenai pertumbuhan perniagaan yang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 6:46 AM