FOTO Hiasan
Harun Yahya
cnews@nstp.com.my


GERAK hati dua pasangan ibu bapa membawa kepada penemuan mayat anak lelaki masing-masing yang lemas, hari ini.

Kedua-duanya antara tiga individu yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika memancing di Sungai Poi berhampiran Nanga Ulin di Kanowit, Khamis lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit Arrahman Chik ketika dihubungi mengesahkan mayat pertama ditemui jam 8.40 pagi hari ini.

Ia dikenal pasti sebagai Hendry Tataw, 28.

Katanya, mayat Hendry ditemui ibu bapanya yang keluar menyusuri sungai berkenaan sejak awal pagi.

Menurutnya, ia ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Ibu bapa mangsa, yang cukup memahami selok-belok sungai berkenaan, menemui mayat anak lelaki mereka pagi tadi sebelum memaklumkan penemuan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Suasana di lokasi ini cukup sayu apabila ibu bapanya, yang turut disertai beberapa anggota keluarga lain, menaiki perahu menyusuri sungai sambil memanggil anak mereka ‘pulang’, seterusnya membawa kepada penemuan mayat mangsa,” katanya.

Menurut beliau, mangsa kedua yang dikenal pasti sebagai Roderick Benedict Rody, 12, ditemui jam 9.10 pagi, juga oleh ibu bapanya, di Nanga Apek, selepas dihanyutkan kira-kira enam kilometer dari lokasi asal kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Khamis lalu, Presly dan Benedict, yang bercuti panjang sempena sambutan Hari Gawai, dipercayai mandi manda di sungai di hadapan rumah panjang mereka sebelum dilihat hampir lemas.

"Dipercayai kanak-kanak berusia 12 tahun itu tidak tahu berenang dan hampir lemas. Presly berkemungkinan cuba menyelamatkan saudaranya itu sebelum beliau turut lemas.

Abang kepada Presly, Hendry Tataw, yang menyaksikan kejadian itu cuba menyelamatkan kedua mereka namun turut dihanyutkan air deras.

"Sungai tempat mereka lemas itu mempunyai kedalaman sekitar enam meter," katanya.

Sementara itu, Presly yang juga mangsa terakhir tragedi berkenaan ditemui penduduk tempatan pada jam 2.45 petang.

Mayat kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 9:23 PM