MUHAMMAD Hanif (dua kanan) menunjukkan senapang patah milik suspek dalam kejadian tembak di Kampung Koh, Sitiawan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


KEJAM dan mengerikan apabila tangan kiri serta kaki kanan pengusaha ladang ternakan ayam yang juga mangsa tembakan senapang patah rakan sendiri pada jarak dekat, hancur.

Kejadian pada 10.50 malam berhampiran sebuah kedai makan di Kampung Koh, Sitiawan mengakibatkan mangsa Ling Iu King, 66, cedera parah.

Mangsa berasal dari Pekan Gurney, Manjung meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Seri Manjung akibat kecederaan dialami.

Rakannya yang juga suspek, Chu Phan Hoo, 62, turut ditemui maut dalam Toyota Fortuner, beberapa kilometer dari lokasi kejadian selepas dipercayai menembak diri sendiri dengan pistol yang dirampas daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, suspek dan mangsa saling mengenali dan sering berurusan dalam urusan bekalan ayam.

“Dua lelaki berkenaan dikatakan minum bersama sebelum dipercayai berlaku perselisihan faham, dan suspek bertindak menembak mangsa di tempat letak kereta berhampiran kedai makan berkenaan.

“Hutang perniagaan dan kemungkinan ada masalah peribadi antara kedua peniaga berkenaan dipercayai menjadi punca pergaduhan hingga mengakibatkan suspek menembak mangsa dengan senapang patah empat das, namun motif kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, jarak antara lokasi mangsa ditembak dengan kedai makan kira-kira 10 meter dan suspek menembak dua das tembakan di kaki kanan serta dua das lagi di tangan kiri mangsa.

“Polis berjaya menemui kenderaan suspek kira-kira 20 hingga 30 minit selepas kejadian dan mendapati dia menembak diri sendiri di kepala dengan satu das tembakan menggunakan pistol yang dirampas daripada mangsa.

“Suspek ditemui meninggal dunia di tempat duduk pemandu bersama pistol mangsa, manakala senapang patah milik suspek ditemui di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya.

Katanya, kes berkenaan tiada kaitan dengan kongsi gelap dan laporan bedah siasat belum diterima serta kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Hutang, mabuk punya pasal

Tembak rakan, bunuh diri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 6:33 PM
Skip this ad x