PENGUAT kuasa JAIM memeriksa lelaki terbabit. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


LELAKI, 22, terkedu apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah bengkel motosikal ketika makan snek di Malim, Melaka, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, lelaki terbabit yang menunggu motosikalnya dibaiki dilihat memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya.

Dia kemudian menyembunyikan barang itu ke dalam poket pakaiannya sebaik melihat van JAIM melintasi bengkel berkenaan.

Ketika didekati penguat kuasa JAIM, lelaki itu menyatakan dia tidak makan, namun penemuan sisa makanan ringan di lantai menimbulkan persoalan sebelum penguat kuasa meminta lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, lelaki itu adalah satu-satunya tangkapan dalam Op Plastik Hitam yang bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Kita mengeluarkan surat perintah hadir kepada lelaki itu yang melanggar kesalahan mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana tidak menghormati Ramadan,” katanya.

Rahimin berkata, operasi hari ini membabitkan lima penguat kuasa dan 13 premis kedai makan di kawasan Bukit Baru, Malim Jaya, Taman Perindustrian Malim, Krubong dan Cheng.

Sehingga hari ini, operasi dijalankan berjaya mengesan 23 kes dalam daerah Melaka Tengah, tujuh di Alor Gajah dan satu di Jasin.

“Daripada 31 kes, empat penjual dan empat penghisap rokok dikenakan tindakan dan secara keseluruhan, kita sudah memeriksa 228 premis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 5:35 PM