Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor memberi tempoh sebulan kepada peniaga di negeri itu untuk menukar tanda harga barangan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di premis masing-masing yang berkuat kuasa semalam.

Pengarah KPDNKK negeri, Khairul Anwar Bachok berkata, tempoh itu diberikan bagi membolehkan peniaga menukar tanda harga selepas penetapan GST kepada sifar oleh kerajaan.

“KPDNKK Johor memberi peringatan tegas kepada premis perniagaan di negeri ini yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mematuhi arahan perubahan kadar cukai dari enam peratus kepada sifar peratus.

“Bagaimanapun bagi tanda harga yang belum ditukar, kita memberikan tempoh masa sebulan kepada peniaga untuk mereka berbuat demikian,” katanya.


KHAIRUL Anuar (kiri) beramah mesra bersama peniaga pakaian ketika pemeriksaan bersepadu KPDNKK Johor ke atas harga barangan sempena penetapan sifar GST.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 9:03 AM