LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai Musa didakwa berada di London berdasarkan video pengguna Facebook dikenali sebagai Az Eem.
Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@nstp.com.my


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak pernah membuat perjalanan secara tidak sah, sebaliknya menggunakan saluran imigresen betul.

Demikian dinyatakan peguam Musa, Zahir Shah sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bahawa bekas Ketua Menteri Sabah itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963 jika keluar dari negara ini melalui cara tidak sah.

Zahir menerusi kenyataan di Kota Kinabalu, malam ini, berkata Musa kini mendapatkan rawatan perubatan seperti disarankan pakar, selepas lama tertangguh.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lokasi serta di mana Musa mendapatkan rawatan termasuk kemungkinan di luar negara.

“Tan Sri Musa akan kembali sebaik sahaja rawatan perubatannya selesai dan doktornya berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.

“Tan Sri Musa mengulangi beliau sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh dan akan terus berbuat demikian dalam membantu pihak berkuasa sekiranya ia dijalankan secara adil dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Mustafar dalam satu sidang media dilaporkan berkata, rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menunjukkan Musa tidak keluar negara walaupun beliau dilaporkan dilihat di London.

Kelmarin, seorang pengguna Facebook mendakwa melihat kelibat lelaki mirip Musa di Stesen Kereta Api St Pancras International, London.

Pengguna Facebook dikenali sebagai Az Eem itu turut memuat naik video berdurasi 10 saat yang kemudian turut viral.

Musa dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir ke kediaman Musa di Kota Kinabalu, namun tidak dapat memasukinya kerana beliau tiada di rumah.

Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Berita berkaitan

'Musa Aman di London? [METROTV]'

'Di mana Musa Aman?'

'SPRM hadir ke rumah Musa Aman'

'Musa Aman nafi tuduhan ugutan jenayah'

'Polis Sabah minta Musa tampil'

'Tun Juhar buat laporan polis'

'Musa saman TYT, Mohd Shafie'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 10:57 PM