MUKHRIZ tidak bimbang dengan kemelut Speaker DUN. FOTO/FAIL
Manirajan Ramasamy; Rohaniza Idris; Veena Babulal dan Mohd Nasaruddin Parzi

cnews@nstp.com.my.

“Saya tidak terlalu risau,” kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berikutan kemelut pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Beliau berkata, isu berkenaan akan diselesaikan sebelum 1 Julai ini memandangkan kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan sidang pertama DUN pada 1 Julai depan.

“Kami rancang untuk adakan sidang DUN pertama pada 1 Julai ini. Jadi sebelum itu, kita perlu selesaikan dan saya fikir ia berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Petaling Jaya, hari ini.

Mukhriz berkata ketika ini, pihaknya masih lagi mengadakan perbincangan dengan PAS dan komponen dalam PH bagi memuktamadkan isu terbabit.

Katanya, keputusan yang dibuat nanti mesti bersandarkan konsensus dan persetujuan daripada semua parti yang terbabit.

Terdahulu, media bertanyakan berkenaan kebuntuan berhubung pelantikan Speaker DUN Kedah selepas PH dan pembangkang di negeri itu, masing-masing memperoleh bilangan kerusi DUN yang sama iaitu 18 kerusi.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mahu isu terbabit diselesaikan semua parti politik di negeri itu dan tidak hanya diputuskan menerusi perbincangan antara Mukhriz, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang semata-mata.

Beliau berkata, pertemuan antara Mukhriz bersama ADUN pembangkang adalah tidak memadai dengan beliau mencadangkan supaya kepimpinan tertinggi komponen PH, PAS dan Barisan Nasional (BN) negeri dapat duduk semeja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 5:27 PM