KEADAAN kereta mangsa.
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


LELAKI berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dihanyutkan arus deras sejauh tiga kilometer dalam kejadian di jambatan konkrit Sungai Timbok - Telipok di Kampung Timbok di Tuaran, malam semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, tindakan pantas Simon Yayun Lamadas, 54, mengambil alat pembuka tayar di but kenderaannya sebelum memecahkan cermin belakang, berjaya menyelamatkan nyawanya.

Simon berkata, ketika kejadian, dia memandu sementara anak saudaranya memandu kereta lain dari kampung mereka di Kampung Natai, Telipok dalam perjalanan pulang ke Kepayan selepas menghadiri majlis Pesta Kaamatan.

“Ketika melalui tengah jambatan, saya yang berada di hadapan tidak menyangka arus sungai sangat deras dan menghanyutkan kenderaan. Saya cemas tetapi berusaha untuk tenang dan mengambil alat pembuka tayar untuk memecahkan cermin pada bahagian belakang kenderaan,” katanya.

Menurut Simon, semua sistem kenderaan rosak termasuk pintu yang dikunci tidak dapat dibuka.

“Saya mengalami luka di tangan ketika memecahkan cermin namun bersyukur kerana dapat keluar dan berenang ke tebing sungai di Kampung Timbok berhampiran bengkel kenderaan.

“Jam 11 pagi tadi, kami menarik kereta yang hanyut dan akan membuat laporan polis mengenai kenderaan rosak sebagai tuntutan insurans termasuk kerosakan komputer riba dan telefon pintar,” katanya.

Anak saudara mangsa, Robert Sopining, 42, yang memandu kereta lain di belakang kereta mangsa berkata, dia segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Bomba tiba dengan jentera dan kenderaan utiliti empat pacuan roda, namun mangsa yang turut dibantu penduduk berhampiran sudah memaklumkan dia selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 4:00 PM