EMPAT motorsikal yang dicuri Geng Epu, dirampas oleh pasukan polis dalam satu serbuan di Pasir Mas. -Foto IHSAN PDRM
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


EMPAT ahli ‘Geng Epu’ ditahan bersama empat motosikal curi dalam serbuan berasingan di Pasir Mas, baru-baru ini.

Semua suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan pada 26 dan 30 Mei lalu, menerusi ‘Ops Lejang.”

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, polis pada awalnya menahan seorang lelaki ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Kubang Kerian, Kota Bharu.

Katanya, lelaki yang berusia 25 tahun itu ditahan jam 10.30 malam, pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, soal siasat terhadap suspek itu membongkar kegiatan kumpulan terbabit aktif melakukan curi motosikal di Kota Bharu, sejak sebulan lalu.

“Pemeriksaan terhadap suspek itu menemui dua batang besi berhuruf ‘T’ dan ‘L ‘ di dalam poket seluarnya.

“Hasil soal siasat dan maklumat selanjutnya, tiga lagi suspek berjaya ditahan di rumah masing-masing bersama motosikal jenis Yamaha Ego dan Yamaha 135C di sekitar Pasir Mas antara jam 7 hingga 10 pagi pada Rabu lalu (30 Mei),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi sama, seorang warga emas berusia 66 tahun yang disyaki membeli motosikal curi jenis Yamaha Ego turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek pertama direman selama empat hari dan sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Tiga lagi suspek bersama warga emas itu juga direman selama empat hari mengikut seksyen sama.

“Siasatan mendapati motosikal yang dirampas itu dilaporkan hilang berkait kes Kota Bharu dan Wakaf Bharu, Tumpat.

“Ujian saringan terhadap dua daripada ahli geng itu adalah positif dadah, selain mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes dadah,” katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya empat suspek terbabit, polis percaya ia dapat menyelesaikan beberapa kes curi motosikal di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 11:06 AM