NAJIB, Irwan Siregar (atas) dan Johari letak jawatan dalam Khazanah Nasional. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


KHAZANAH Nasional Bhd mengumumkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah sayap pelaburan kerajaan itu berkuat kuasa hari ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, Pengarahnya iaitu Datuk Seri Johari Ghani dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah turut meletak jawatan sebagai masing-masing berkuat kuasa kelmarin dan 23 Mei lalu.

Difahamkan, peletakan jawatan itu susulan pertukaran kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.

Khazanah adalah sayap pelaburan strategik kerajaan yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersial kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik.

Ia terbabit dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, institusi kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan, infrastruktur, pelancongan, hartanah, kreatif dan media, pendidikan serta inovasi dan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 10:23 PM