TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (kanan) diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Program Berbuka Puasa di Masjid Jamek, Kampung Baru Sungai Kob. FOTO Sharul Hafiz Zam
Adie Suri Zulkifli; Petah Wazzan Iskandar dan Azahar Hashim
cnews@nstp.com.my


KERAJAAN akan mengkaji beberapa peruntukan sedia ada bagi membolehkan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah dilakukan secepat mungkin, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, pihaknya ada melakukan perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi KWSP serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membincangkan dan memperincikan skim caruman bagi merealisasikan janji 100 hari kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya mahu melaksanakan dua daripada 11 peratus yang diperuntukkan kepada isteri seperti yang direncanakan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Kita dapati ada peruntukan perundangan yang tidak membenarkan pelepasan ini. Maka, kita nak lihat macam mana ia boleh dilaksanakan secepat mungkin.

“Dalam proses pelaksanaan ini juga, kita dapati terdapat mekanisme yang boleh dibuat secara sukarela daripada suami untuk membuat caruman. Kita sedang usaha untuk padankan dengan kerajaan dalam memberi.

“Semua ini memerlukan usaha kerjasama melalui Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya selepas melakukan tinjauan ke kawasan banjir di Kampung Bahru Sungai Kob, di Kulim sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selasa lalu, Dr Wan Azizah menegaskan cadangan mencarum KWSP dua peratus kepada suri rumah tidak membabitkan potongan tambahan caruman daripada gaji suami.

“Kita tidak ambil caruman tambahan, hanya diambil daripada 11 peratus jumlah caruman KWSP sedia ada. Pemotongan ini sebagai penghargaan kepada isteri,” katanya.

Beliau mengulas keengganan ramai suami untuk mencarum potongan KWSP dua peratus untuk isteri.

Antara perkara yang mendapat rungutan ramai dan perlu diberi perhatian adalah suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut berbuka puasa dan solat maghrib bersama kira-kira 300 penduduk di Masjid Sungai Kob.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 9:38 PM
Skip this ad x