Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


PASUKAN Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Malaysia dan Singapura bersetuju untuk bekerjasama membawa pulang sejumlah wang kerajaan Malaysia dipercayai diseleweng daripada syarikat pelaburan strategik itu.

Perkara terbabit diputuskan pada mesyuarat antara Pasukan Petugas Khas 1MDB dua negara itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam.

Pasukan Petugas Khas 1MDB memaklumkan, kerjasama antara kedua-dua pihak juga bertujuan mengumpul bahan bukti dan mengesan saksi di Singapura, secepat mungkin.

“Selain itu, pasukan ini juga akan melakukan 'money trail' (pengesanan wang) bagi mengesan wang serta aset yang masih wujud,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan Petugas Khas 1MDB berkata, mesyuarat itu dihadiri sembilan pegawai kanan pasukan siasatan Singapura terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Manakala pihak Malaysia diwakili Pasukan Petugas Khas 1MDB terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia terdiri daripada bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Pasukan Petugas Khas 1MDB ditubuhkan pada 21 Mei lalu dan ahlinya dilantik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Pasukan itu sudah bermesyuarat empat kali sejak minggu lalu.

Mereka akan membuat siasatan, pengesanan, rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB, selain bertanggungjawab mendapatkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguat kuasaan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan negara lain yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 4:53 PM