ADLY ketika sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO/FAIL
Amir Mamat
cnews@nstp.com.my


KERAJAAN Negeri Melaka melakukan rombakan kecil dengan memansuhkan enam jabatan dan unit di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM), manakala status dan keperluan dua agensi lagi akan dikaji semula.

Agensi yang dimansuhkan itu, termasuk Unit Bahagian Sahabat Belia (BSB), Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (UPEB), Majlis Pembangunan Ekonomi Negeri (MAPEN), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Bahagian Khidmat Masyarakat (BKM) dan Jabatan Landskap negeri.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan DMDI International Education Sdn Bhd pula akan dikaji semula peranan serta keperluannya kepada masyarakat selain pembangunan negeri.

“Beberapa daripada unit yang dimansuhkan itu mempunyai tugas yang bertindih dengan jabatan di peringkat Persekutuan seperti BSB yang mempunyai fungsi bertindih dengan Jabatan Belia dan Sukan, manakala BKM pula bertindih dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri.

“Bagi UPEB dan MAPEN, fungsinya akan diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), fungsi MKJR akan dimainkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, manakala Jabatan Landskap negeri pula akan diselaraskan oleh Unit Kerajaan Tempatan JKMM,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Adly berkata, kerajaan negeri turut membuat keputusan membatalkan serta-merta projek pembinaan bangunan baharu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Klebang.

“Selepas perbincangan dilakukan, termasuk memikirkan kos jangka panjang yang ditanggung MBMB membabitkan RM16.4 juta untuk tempoh 25 tahun, pembangunan yang sudah 17 peratus siap itu dibatalkan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri menerusi mesyuarat EXCO semalam turut bersetuju melantik bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ruslin Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) menggantikan Datuk Azmi Hussien yang dilantik sebagai Datuk Bandar MBMB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 4:18 PM