Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


PERBUATAN ala samseng sekumpulan empat lelaki, termasuk dua remaja membelasah seorang pemilik restoran di Miri akhirnya memakan diri sendiri selepas ditahan polis, petang kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia antara 16 sehingga 23 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan, masing-masing di Taman Tunku dan Jalan Chia Tze, pada 1 tengah hari dan 12 tengah malam.

Sumber memberitahu NSTP, suspek membelasah mangsa berusia 40 tahun itu, yang juga pengusaha sebuah restoran di Jalan Miri ByPass, pada 11.30 malam, Sabtu lalu.

Katanya, ia dipercayai selepas tidak berpuas hati berhubung isu bayaran gaji.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan akibat dibelasah kumpulan terbabit menggunakan objek keras yang masih belum dikenal pasti.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat tidak puas hati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga pekerja restoran itu berkaitan gaji.

“Remaja terbabit mendakwa gajinya dipotong oleh mangsa.

"Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa terpaksa memotong gaji suspek kerana suspek tidak datang bekerja sebelum ini.

“Ini mengundang rasa tidak puas hati sebelum suspek membawa tiga lagi rakannya membelasah mangsa," katanya

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 1:08 PM